Saturday, August 8, 2009

Kebajikan sosial dalam konteks satu Malaysia

Kebajikan sosial merupakan satu kerja menolong atau membantu masyarakat bagi meningkatkan kefungsiaan hidup merangkumi dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Dengan kata lain, kebajikan sosial dapat dirumus sebagai program holistik yang berperanan untuk membangunkan masyarakat supaya tidak tercicir dengan perkembangan semasa pada masa kini. Program pembangunan manusia pada hari ini perlu diberikan penekanan supaya masyarakat Malaysia dapat membangun seiring dengan modal insan yang yang berkualiti.

Kebajikan sosial mempunyai perkaitan rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menawarkan perkhidmatan melindungi kanak-kanak daripada semua bahaya termasuk jenis penyalahgunaan, penyeksaan, penderaan, diskriminasi dan eksplotasi. Di samping itu penekanan khusus diberi kepada perkembangan sihat kanak-kanak dari segi fizikal, sosial, emosi dan mental. Mereka juga dilengkapi dengan nilai dan sikap yang sesuai supaya mereka mempunyai haluan dan tujuan sebagai generasi dan pemimpin masa hadapan. Ini bertujuan mencegah dan mengurangkan kesan masalah sosial ke atas kanak-kanak serta menentukan penjagaan, perlindungan dan pendidikan yang baik bagi kanak-kanak. Menjaga kepentingan kanak-kanak dengan memberi jagaan dan perlindungan atau menyelamatkan atau memberi bantuan kepada kanak-kanak yang tersisih dari keluarga, dianiaya atau terbiar seperti mereka yang teraniaya dan terbiar, mengemis, tiada tempat tinggal yang tetap dan yatim piatu

Kebajikan sosial juga memberi fokus kepada orang papa/pengemis yang tiada tempat tinggal dan memerlukan perlindungan. Desa Bina Diri (DBD) ialah salah sebuah institusi yang memberi perlindungan dan pemulihan bagi orang papa, pengemis dan kuturayau. Setiap pengemis yang dimasukkan ke Desa Bina Diri adalah melalui perintah mahkamah mengikut Akta Orang-orang Papa 1977. Mereka yang tinggal di institusi ini akan diajar kemahiran-kemahiran yang bersesuaian seperti menjahit, bertukang, berkebun dan sebagainya sebagai persediaan menempatkan kembali mereka ke dalam masyarakat atau keluarga serta boleh berdikari.
Kebajikan sosial berfungsi sebagai meningkatkan lagi kefungsiaan sosial yang berada dalam sesebuah masyarakat, kumpulan, komuniti dan organisasi. Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat bagi membolehkan hidup seimbang dengan keadaan semasa.

No comments:

Post a Comment